Penyakit Ketika Mengandung: Hipertensi Hamil

Hipertensi adalah satu masalah kesihatan yang kerap berlaku di kalangan wanita mengandung.

Hipertensi semasa mengandung adalah terdiri dari beberapa kategori:

  • Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung lagi);
  • Hipertensi akibat mengandung; dan
  • Pra-eklampsia

Hipertensi yang sedia ada terjadi di kalangan 1 hingga 5% wanita hamil, manakala hipertensi akibat mengandung terjadi di kalangan 5 hingga 10% wanita hamil. Peratusan ini mungkin lebih tinggi di kalangan penduduk Asia oleh kerana faktor genetik. Hipertensi semasa mengandung adalah lebih kerap berlaku semasa kandungan pertama (sehingga 25% wanita hamil).

Hipertensi semasa mengandung memerlukan pemerhatian dan rawatan yang rapi. Wanita hamil berisiko tinggi mengalami Pra-eklampsia atau Eklampsia (sawan) yang boleh menyebabkan kerosakan otak dan buah pinggang, masalah pendarahan dan kemudaratan kepada janin yang belum lahir.

Mengapa hipertensi semasa mengandung terjadi?

Sebab sebenar mengapa sesetengah wanita hamil mendapat hipertensi dan ada yang tidak, masih belum diketahui. Salah satu faktor risiko adalah faktor genetik. Teori pertama menyatakan bahawa terdapat masalah ketika perkembangan bahagian uri semasa awal mengandung. Teori yang kedua pula menyatakan bahawa mungkin terdapat kejadian peradangan yang tidak terkawal, di mana tubuh badan bertindak balas terhadap uri itu sendiri. Laporan saintifik menyatakan bahawa lebih ramai wanita Asia yang menghidap hipertensi semasa mengandung.

Siapakah yang berisiko?

Golongan wanita mengandung yang berisiko mendapat hipertensi adalah seperti berikut:

Faktor-Faktor Am:

  • Wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
  • Obes: BMI <30 kg/m2 adalah dikaitkan dengan peningkatan dua kali ganda risiko mendapat pra-eklampsia. BMI yang tinggi sebelum mengandung atau pada peringkat awal mengandung akan meningkatkan risiko kejadian hipertensi semasa mengandung.

Faktor Genetik:

  • Sejarah kejadian hipertensi semasa mengandung di kalangan ahli keluarga, sama ada sebelah ibu atau pun adik beradik meningkatkan risiko antara 20% hingga 40%.

Faktor-Faktor Obstetrik

  • Primigravida : kandungan yang pertama (2-3 kali ganda lebih tinggi risiko)
  • Kandungan kembar
  • Sejarah pra-eklampsia pada kandungan yang sebelumnya
  • Tempoh antara kandungan yang lama
  • Penyakit Hydrops, dengan uri yang besar
  • Kandungan molar

Nota: Walaupun wanita primigravida (kandungan pertama) berisiko tinggi mendapat pra-eklampsia, wanita yang multiparous (anak yang ramai) berisiko mendapat gejala yang lebih serius dengan pelbagai komplikasi.

Faktor-Faktor Perubatan

  • Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung)
  • Penyakit buah pinggang
  • Diabetes
  • Kehadiran antibodi Anti-fosfohipid
  • Penyakit Connective tissue
  • Trombofilia keturunan (Inherited thrombophilia)

Bilakah hipertensi berlaku semasa mengandung?

Hipertensi boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang tempoh mengandung. Oleh yang demikian, bacaan tekanan darah perlu diambil setiap kali wanita hamil mendapatkan rawatan susulan di klinik.

Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung)

Hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) selalunya dikesan pada peringkat awal kehamilan (trimester pertama). Lazimnya individu ini tidak mengalami sebarang gejala dan tidak mengetahui mereka mempunyai tekanan darah yang tinggi sehinggalah mengandung, di mana tekanan darah yang tinggi tersebut dikesan semasa lawatan antenatal. Bagi golongan yang muda, andaian bahawa hipertensi yang dihidapi adalah jenis hipertensi primer (essential hypertension) tidak boleh dibuat, tanpa pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sebab yang menyebabkan hipertensi sekunder seperti Sindrom Cushing’s, Sindrom Conn’s dan phaeochromocytoma. Wanita dengan hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) adalah berisiko untuk turut mendapat pra-eklampsia, bayi yang kecil berbanding umur (small for gestational age) dan placental abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Golongan wanita ini memerlukan rawatan oleh kerana risiko kejadian pra-eklampsia dianggarkan dua kali ganda.

Hipertensi akibat mengandung

Berbanding dengan kategori di atas, hipertensi akibat mengandung dan pra-eklampsia lazimnya dihidapi pada separuh terakhir kehamilan sehingga 6 minggu selepas bersalin. Tekanan darah mungkin berada pada paras tinggi sehingga 3 bulan selepas bersalin. Hipertensi akibat mengandung boleh didefinisikan sebagai hipertensi yang berlaku semasa separuh terakhir kehamilan tetapi tanpa tanda-tanda pra-eklampsia (seperti yang dinyatakan di bawah). Rawatan bagi hipertensi yang sedia ada (sebelum mengandung) dan hipertensi akibat mengandung adalah sama. Jika hipertensi berlaku selepas 20 minggu kehamilan, kemungkinan ia melarat menjadi pra-eklampsia adalah kira-kira 15%. Hipertensi akibat mengandung lazimnya berulang semasa kehamilan yang seterusnya. Sesetengah wanita pula kekal dengan tekanan darah yang tinggi selepas kehamilan yang bermasalah akibat hipertensi akibat mengandung.

Pra-eklampsia

Hipertensi dan protinuria (kehadiran protein di dalam air kencing) adalah tanda-tanda utama kejadian pra-eklampsia. Protinuria semasa mengandung boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada saluran air kencing (urinary tract infection), tetapi ia mungkin kejadian pre-eklampsia walaupun tekanan darah adalah tinggi sedikit dari aras normal. Tanda-tanda pre-eklampsia (dan juga eklampsia) mungkin timbul sebelum, semasa dan juga selepas bersalin.

Wanita-wanita hamil mungkin mendapat sakit kepala, gangguan penglihatan, sakit di bahagian perut, loya, muntah, atau odema (bengkak, terutamanya di bahagian kaki). Malangnya, kebanyakan wanita hamil tidak mengalami sebarang gejala, menjadikan penyakit ini sukar dinilai secara klinikal. Wanita-wanita hamil perlu diberikan pendidikan kesihatan untuk mengenali tanda-tanda awal pra-eklampsia dan seterusnya mengambil langkah awal untuk mendapatkan rawatan. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa rawatan rapi, ia boleh melarat menjadi eklampsia atau sawan, memudaratkan ibu mengandung dan juga janin. Pra-eklampsia menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan masalah pembekuan darah, diikuti kejadian placenta abruption (satu keadaan di mana uri terpisah dari rahim dan menyebabkan pendarahan). Sebab utama kematian penghidap pra-eklampsia adalah pendarahan dalam otak dan masalah pernafasan yang serius (adult respiratory syndrome). Janin pula boleh mengalami kelemasa (masalah pernafasan), pembantutan tumbesaran dan kematian.

Eklampsia

Eklampsia adalah satu masalah kesihatan di mana pesakit yang mengalami gejala-gejala pra-eklampsia (seperti di atas) turut mengalami sawan. Lain-lain penyebab sawan seperti epilepsy, ketidakseimbangan biokimia dalam tubuh badan atau hipoglisemia (kurang gula dalam darah). Perlu disahkan bukan penyebab sawan sebelum eklampsia didiagnosa. Terdapat juga situasi di mana pra-eklampsia tidak menunjukkan tanda klinikal yang jelas dan diagnosis hanya boleh dilakukan selepas eklampsia terjadi. Lebih dari satu pertiga daripada wanita yang hamil mengalami episod sawan yang pertama sebelum kejadian tekanan darah tinggi dan protinuria. Remaja hamil berisiko lebih 3 kali ganda mengalami eklampsia berbanding wanita dewasa. Komplikasi akibat eklampsia termasuklah angin ahmar (strok) disebabkan oleh pengecutan salur darah atau edema (kebengkakan) di bahagian otak. Komplikasi ini lazimnya akan kembali normal dengan sendirinya, namun ada di kalangan wanita ini yang mengalami kerosakan otak yang kekal.

Kredit to Kementerian Kesihatan Malaysia

—————————————————————————————————————-

Berminat untuk dapatkan nutrisi tambahan untuk anda dan bayi anda sepanjang tempoh kehamilan? 

Dapat set kehamilan yang lengkap dengan pelbagai vitamin asas dan nutrient penting untuk memastikan anda sihat sepanjang tempoh kehamilan dan perkembangan bayi yang sihat.

PM Mamarif Nutri-Shoppe untuk konsultasi percuma dan dapatkan set kehamilan anda hari ini!!

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s